Latar Belakang Hospital Sultanah Bahiyah
Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) mula di bina pada bulan Ogos 2000, siap pada Mac 2007 dan beroperasi sepenuhnya pada 29 Julai 2007. Terletak di atas tapak seluas 28.33 hektar, jarak dari pusat bandaraya Alor Setar 6 km. Kos pembinaan RM 552 juta. Kompleks hospital mempunyai keluasan 110,200 m², mempunyai 4 blok iaitu Blok Sokongan Perubatan, Blok Sokongan Bukan Perubatan, Blok Utama dan Blok Wad.
Operasi HSB melibatkan 2 lokasi iaitu Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Alor Setar (HAS, hospital lama).
Pada awal penubuhan, Hospital ini memberi perkhidmatan perubatan tahap sekunder dan tertiary dengan 10 bidang kepakaran asas dan 28 subkepakaran. Pada masa kini bidang kepakaran asas telahpun berkembang menjadi 17 kepakaran asas dengan 45 sub kepakaran bertaraf antarabangsa, Sejajar dengan peranannya, hospital ini turut dilengkapkan dengan kemudahan sistem IT melalui perlaksanaan Total Hospital Information System (THIS) dan mula diimplementasi secara keseluruhan pada 23 Disember 2008. Pelaksanaan sistem eHIS ini juga telah diperluaskan di HAS pada tahun 2018 secara berperingkat.
Hospital ini telah telibat dalam perlaksanaan sistem Casemix Malaysia DRG pada tahun 2013 dan merupakan Hospital Kluster Kedah Utara bersama-sama dengan Hospital Jitra dan Hospital Kuala Nerang mulai tahun 2016. Hospital ini turut menjadi pusat rujukan bagi 12 klinik kesihatan daerah Kota Setar/Pendang, 8 hospital lain di Negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang dan 11 hospital swasta.
HAS terlibat dalam perawatan pesakit dalam bagi disiplin perubatan, penyakit berjangkit, pembedahan, ortopedik, respiratori dan psikiatri. Jabatan Respiratori dan Jabatan Psikiatri merupakan jabatan yang mempunyai wad-wad yang sedia ada di HAS. Manakala, wad-wad Perubatan Rehabilitasi dan Perubatan Paliatif telah dimulakan operasinya di HAS pada tahun 2020.
Kelebihan utama struktur HAS yang mempunyai banyak wad-wad kosong yang tidak beroperasi membuka ruangan untuk menampung sejumlah pesakit sekiranya berlaku bencana.
Pada tahun 2020, HSB mempunyai sebanyak 41 wad beroperasi termasuk 5 wad kritikal iaitu dengan kapasiti 1,108 katil rasmi (HSB 910, HAS 198). HSB mempunyai sebanyak 18 dewan bedah dan 12 bilik bersalin.
Pusat Perkhidmatan Rawatan Harian dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2021 berikutan projek naik taraf bangunan blok E di HAS
Berikut merupakan perkhidmatan kepakaran yang disediakan oleh HSB :
- Perubatan Am (Gastroentrologi, Nefrologi, Kardiologi, Perubatan Respiratori, Dermatologi dan Penyakit Berjangkit.
- Pembedahan Am (Kolorektal, Pembedahan Pediatrik, Plastik dan Rekonstruktif, Urologi, Hepatopankreatobiliari dan Neurosurgeri).
- Ortopedik (Arthroplasti dan Spinal)
- Pediatrik (Rawatan Rapi Pediatrik)
- Obstetrik dan Ginekologi (Gynae Oncology, Maternal Fetal, Reproductive dan Urogynaecology)
- Anestesiologi (Rawatan Rapi)
- Otorinolaringologi (Pediatrik dan Head and Neck)
- Oftalmologi (Glaucoma, Vitroretina, Kornea)
- Psikiatri (Psikiatri dalam Komuniti)
- Forensik (Histopatologi)
- Anatomical Pathology Microbiology Hematology (Gastrointestinal and Liver Pathology)
- Oral Maksilofacial
- Radiologi
- Perubatan Transfusi
- Perubatan Kecemasan
- Pergigian Pediatrik
- Perubatan Rehabilitasi
Di samping itu, terdapat juga perkhidmatan Perubatan Tradisional dan Komplementari yang telah mula beroperasi di HAS pada 26 Disember 2010 di mana perawatan yang disediakan adalah Akupuntur dan Urut Tradisional bagi pesakit strok dan pesakit yang menghidapi sakit kronik yang dirujuk oleh pegawai perubatan.