Pain Free Hospital Programme
Poster Pain Free Hospital Programme
PENGENALAN KEPADA PROGRAM BEBAS KESAKITAN (PAIN FREE)
Pelaksanaan Pain As 5th Vital Sign (P5VS) bermula pada tahun 2009 selaras dengan Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bilangan 9 Tahun 2008. Pada tahun 2011, projek rintis konsep Hospital Bebas Kesakitan telah dilaksanakan melibatkan tiga buah hospital di Malaysia.
Pada tahun 2023, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) berhasrat untuk mendapatkan Pensijilan Hospital Bebas Kesakitan, sebagai platfom untuk menambahbaik khidmat perawatan kesakitan yang diberikan kepada pelanggan hospital ini.
Konsep Program Bebas Kesakitan mengenengahkan pengurusan kesakitan (pain management) berdasarkan kepada tiga komponen iaitu; pengenalan pasukan pelbagai disiplin (multi-disciplinary approach) bagi pengurusan kesakitan pesakit yang melibatkan pakar-pakar perubatan dari pelbagai disiplin, penggabungan kaedah farmakologi dan non-farmakologi serta integrasi Perubatan Tradisional dan Komplementari sebagai salah satu amalan harian yang bertujuan untuk melegakan kesakitan.
Penerapan rawatan kesakitan Analgesia dan Anestesia yang mengikut garis panduan adalah perkara kedua di dalam konsep Program Bebas Kesakitan.
Turut dititikberatkan termasuklah penggunaan teknik pembedahan secara “Minimally Invasive” dan Pembedahan Rawatan Harian. Perkara ini dapat mengurangkan risiko jangkitan nosokomial, mempercepatkan proses penyembuhan dan menjadikan pesakit lebih selesa.
Bagi pelanggan HSAH, sepanjang kehadiran anda di fasiliti ini, kakitangan hospital akan sentiasa memantau tahap kesakitan anda. Semua pesakit digalakkan menzahirkan tahap kesakitan masing-masing dengan menggunakan skala kesakitan yang telah disediakan. Tahap kesakitan yang dizahirkan dapat membantu kakitangan untuk memberikan perawatan yang bersesuaian dan berkesan. Rawatan kesakitan yang diberikan adalah mengikut garis panduan dan ianya bukan sekadar rawatan secara ubatan (Pharmacological), malahan rawatan secara bukan ubat (Non-pharmacological) turut diambil kira bagi merawat pesakit secara holistik.
Informasi berkenaan Program Bebas Kesakitan di Hospital Sultan Abdul Halim ini boleh didapati melalui imbasan QR code serta poster dan risalah yang terdapat di fasiliti HSAH iaitu di wad, klinik-klinik pakar dan lokasi klinikal.